Jumaat, 16 Oktober 2009

Perubahan perlu lalui 'tempoh sakit'


Timbalan presiden Umno menggesa anggota parti itu supaya menghadapi tempoh 'sakit' yang perlu ditahan sebelum perubahan dapat dirasai.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses perubahan yang sering disebut oleh tokoh-tokoh dunia juga memakan masa dan perubahan itu perlu melalui 'tempoh sakit'.

"Kerana apa yang dikehendaki orang Melayu, khususnya yang dapat dilihat pada keputusan pilihanraya dulu, kita sedar di hadapan kita ada perkara amat kritikal," katanya ketika menggulung perbahasan di perhimpinan agung parti itu petang ini.

Katanya lagi, beliau dapat memerhatikan ramai perwakilan yang telah menyatakan kesanggupan dan kesediaan untuk berubah dan ini harus dilakukan dengan pantas.

"Kita sedar kalau kita tidak buat (dengan) pantas, masa tidak menyebelahi kita, dan kita tidak akan dilihat sudah mula berubah," katanya.

Katanya lagi, ucapan dasar oleh presiden telah menyuntik semangat baru di kalangan perwakilan yang hadir.

"Ini beri dorongan yang kuat untuk bekerja keras untuk pikul amanah yang lebih besar bagi pastikan kelangsungan umno dan teras di tanah air," katanya lagi.

Ubah kelakuan

Tambahnya, beliau akan bertemu pemimpin parti itu di semua peringkat untuk melihat komitmen yang telah dijalankan oleh di setiap negeri.

Jelasnya lagi, kejayaan yang diraih calon BN dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang hujung minggu lalu juga menunjukkan kesan bahawa sokongan ke atas parti itu telah meningkat..

"Ada kawasan peti undi yang dulunya hitam legam (penyokong pembangkang) dan kawasan ladang yang hitam legam menjadi putih melepak (penyokong BN), semuanya kita menang," katanya.

Katanya lagi, usaha-usaha untuk perubahan di kalangan Umno tidak akan berjaya sekiranya anggota-anggota parti itu masih berbalah sesama sendiri.

"Perubahan tidak akan berlaku kalau kita berbalah, kalau ada masih di kalangan kita puak-puak, team-team, dan usaha-usaha yang tidak membantu perpaduan.

"Tapi bersediakah kita untuk tinggalkan feel (kelakuan) yang buruk-buruk ini. Fe'el lama yang mengongkong kita inilah yang menghalang kita berubah," tambahnya.

Katanya lagi, kerja-kerja parti perlu ditumpukan untuk mengenalpasti titik-titik sentuhan dalam masyarakat untuk mengenalpasti kesan tindakan parti itu ke atas masyarakat.

"(Perlu tahu) apakah kesan yang dirasakan masyarakat. Mungkin (ianya perkara) kecil tapi ada kesan besar kepada masyarakat," tambahnya.

Dalam ucapan itu, Muhyiddin juga berkata Umno telah bersetuju untuk memberikan peruntukan (kepada bahagian-bahagian) bagi mengadakan aktiviti-aktiviti parti, mengikut program-program yang dirancangkan. (malaysiakini)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan