Rabu, 2 Februari 2011

Nik Aziz: Umno zalimi Melayu, Mahathir pula ‘mudah lupa’


KUALA LUMPUR, 3 Feb — Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjawab tuduhan Tun Dr Mahathir Mohamad ke atasnya awal minggu ini dengan menegaskan, Umno yang selama ini “menzalimi orang-orang Melayu” dan menafikan beliau menjadi punca perpecahan orang Melayu Islam negara ini.


Sehubungan itu Nik Aziz berkata, Dr Mahathir sudah mula dijangkiti penyakit “Melayu Mudah Lupa” yang pernah disebutnya satu ketika dahulu, ketika menjadi perdana menteri dan presiden Umno.



“Tun Mahathir melabelkan saya dan PAS sendiri sebagai punca pecah belah orang Melayu. Barangkali kerana sayalah yang menyebabkan parti Umno diharamkan pada 1987 yang membawa kepada penubuhan Semangat 46.



“Barangkali sayalah juga penyebabnya sehingga terpecat timbalan presiden Umno pada 1999 yang membawa kepada penubuhan parti Keadilan dan kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat. Saya bimbang, Tun Mahathir sudah dijangkiti penyakit Melayu Mudah Lupa yang pernah disebutnya satu ketika dahulu,” katanya.



Dalam tulisan blognya Isnin lalu, Dr Mahathir, perdana menteri selama 22 tahun, mendakwa Islam dibawa oleh Nik Aziz “lebih teruk dari Islam nasionalis” dan menjadi penyumbang kepada perpecahan orang Melayu Islam negara ini.



Justeru katanya, Nik Aziz rela mempertahankan Singapura Lee Kuan Yew dengan menganggap cadangan bekas perdana menteri Singapura itu supaya orang Islam Singapura tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam adalah tidak seburuk dari Islam nasionalis Melayu.



“Cadangan Lee Kuan Yew ini dianggap oleh Nik Aziz sebagai lebih baik dari segala-gala yang dilakukan oleh nasionalis Melayu di Malaysia.



“Bayangkan sahaja Islam di bawah pemerintahan Nik Aziz dengan Karpal, Kit Siang, Guan Eng,” kata Dr Mahathir.


Nik Aziz menjawab: “Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh Umno.”



“Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan Umno. Padahal, apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew,” katanya.



Nik Aziz juga berkata, dari zahirnya kelihatan Dr Mahathir sebagai seorang yang sangat mencintai perpaduan Melayu.



“Sedarkah Tun Mahathir bahawa Umnolah selama ini yang menzalimi orang-orang Melayu? Pada tahun 1961, siapakah yang menculik ADUN-ADUN PAS di Terengganu yang menyebabkan akhirnya kerajaan PAS pimpinan Allahyarham Daud Samad digulingkan dari pintu belakang?” kata Mursyidul Am PAS itu dalam responsnya yang disiarkan menerusi Facebook beliau.



Begitu juga keadaan di Kelantan apabila Umno menculik lima wakil rakyat PAS dengan tujuan menggulingkan kerajaan pimpinan Allahyarham Datuk Asri Muda, kata Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan.



“Ini boleh disahkan oleh bekas wakil rakyat Tanah Merah Timur yang masih hidup sekarang ini, Che Omar Mohamad yang turut menjadi mangsa,” kata beliau.




Nik Aziz, yang bertegas menentang sebarang bentuk kerjasama politik dengan Umno, yang dibangkitkan sejak selepas pilihan raya umum 2008, seterusnya bertanya siapa yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak demokratik itu “kalau bukan Umno.”



“Episod-episod kezaliman ini masih segar di ingatan pejuang-pejuang PAS,” kata Nik Aziz sambil menambah beliau bukannya mahu menyemarak api permusuhan lama, jauh sekali menyimpan dendam tetapi sekadar untuk memperkukuhkan fakta sejarah buat generasi muda yang saya bimbang terbuai dengan dodoi “Ketuanan Melayu yang ditaja oleh Umno.”




Dalam menjawab tuduhan bahawa beliau merupakan penyumbang kepada perpecahan umat Islam Melayu, Nik Aziz juga menyentuh soal persempadanan bahagian pilihan raya yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 2003.



Dr Mahathir meninggalkan jawatan perdana menteri Oktober 2003 dan digantikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi.



Syor kerusi baru digunakan pada pilihan raya umum 2004 dan seterusnya 2008.



“Di zaman Tun Mahathir, siapakah yang bertanggungjawab melakukan persempadanan pilihan raya pada tahun 2003 yang menafikan pertambahan kerusi Parlimen dari negeri yang majoritinya orang Melayu kalau bukan Umno di zaman Tun Mahathir?



“Siapakah yang bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan beramai-ramai Ibrahim Libya di Memali bersama pengikut-pengikutnya yang kesemuanya terdiri daripada orang Melayu tanpa sebarang sebab yang munasabah kalau bukan Umno di zaman Tun Mahathir?” katanya.



Jawapan Nik Aziz terus mempersoalkan pengenalan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).



“Siapakah yang memperkenalkan pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang kemudiannya ditolak sendiri oleh Umno kalau bukan Tun Mahathir?” katanya.



Malagnya kata Nik Aziz, hari ini Umno masih lagi menjuarai amalan tidak demokratik sedangkan bertindak sebaliknya di Perak, Selangor dan Kelantan sendiri.



“Di Perak, mereka gulingkan kerajaan dari pintu belakang. Di Selangor, mereka melantik Setiausaha Kerajaan tanpa sedikitpun perbincangan dengan Menteri Besar.



“Peliknya, juara Ketuanan Melayu inilah pula yang menentang usul mengembalikan kuasa Sultan di Selangor. Tidak malukah mereka kepada DAP yang mereka dakwa sebagai parti cauvinis Cina?” katanya.



Di Kelantan, katanya, Umno-Barisan Nasional menafikan royalti minyak serta menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). “Jika begini, demokrasi pun tidak, federalisme pun tidak, Islam jauh sekali!,” katanya.




Kelantan telah memfailkan pertikaian royalti minyak di mahkamah Ogos lalu.

Nik Aziz menambah, jika Dr Mahathir berkata bukti Umno berjasa kepada Islam dengan membina masjid, maka Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah s.a.w. lebih dahulu membina masjid yang dikenali sebagai Masjid Dhirar.




“Jika Tun Mahathir menyatakan bahawa Umno berjasa kepada Islam dengan membina sekolah agama, maka di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama.

“Bahkan jika Tun Mahathir berkata bahawa jasa Umno ialah arak tidak dihidangkan di majlis rasmi kerajaan, maka apakah bezanya jika arak tetap diberikan lesen secara besar-besaran dan judi pula terus dinikmati sekalipun bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan,” katanya.



Sehubungan itu Nik Aziz meminta Dr Mahathir sebutkan apakah yang beliau lakukan di Kelantan yang bertentangan dengan Islam.

“Jika tidak ada, maka untuk apa kami dilawan?” katanya sambil berkata, “saya akui Tun Mahathir seorang yang bijak.”




“Dan, alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan untuk Islam. Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah,” katanya.