Rabu, 30 September 2009

PAKCIK PINJAMAN HASSIN PEJUANG SEBENAR IRANUN


membaca catatan abang Naddin dalam blog nya ,mengenai pakcik Pinjaman, benar-benar menyentuh kalbu saya. Kerana saya boleh dikatakan membesar dengan cerita perjuangan Pakcik Pinjaman ini. Sebagai orang Marampayan saya cukup mengenali pakcik Pinjaman juga keluarganya..sangat rapat ! kerana keluarga saya juga merupakan benteng perjuangan Pakcik Pinjaman. Saya juga kenal dengan "datu kabugatan" Iranun yang dikatakan oleh abang naddin..juga rapat dan tahu sejarah perjuangannya. Bapa saya suka sangat bercerita tentang kedua tokoh ini. Biarpun bapa saya bukan terpelajar tetapi ceritanya mengandungi perjuangan bangsa yang bila mendengarnya, membuatkan saya meremang bulu roma.


Biarpun pakcik Pinjaman, tidak mendapat tempat dalam politik Sabah, seperti Tan sri Pandikar..tetapi beliaulah pejuang sebenar-benarnya yang mendaulatkan kuasa politik Iranun. Beliau ada karisma, idea perjuangan yang kental...tawaduk dan istiqamah. tidak muda lentur semangat juangnya....sentiasa memberikan keutamaan kepada bangsanya..tidak pernah membiarkan kuasa politik Iranun dipersendakan..jauh sekali mengutamakan kepentingan peribadi dan mengaut keuntungan harta dan pangkat dengan menggadaikan maruah Iranun.


Kadang-kala saya menitiskan air mata bila mendengar sejarah perjuangannya. Malahan pernah diceritakan bahawa dalam politk beliau pernah tidak sependapat dan Tan Sri Pandikar...tetapi tidak membuatkan dia lupa diri bahawa Tan sri Pandikar itu adalah orang Iranun yang mewarisi perjuangan bangsanya. Lihatlah wahai generasi muda sekarang..lihatlah pejuang bangsa iranun yang sebenar..biar dimamah usia..tetapi segar minda dan perjuangannya. semoga pakcik pinjaman terus diberikan kekuatan untuk bangsa biar 1000 tahun mendatang...Andainya usia menjadi batasan..namun pemikirannya dan perjuangannya menjadi ikutan pejuang baru yang lebih banyak cabarannya.

Isnin, 28 September 2009

SABAH HADAPI MASALAH KEKURANGAN DOKTOR


Masalah kekurangan doktor di Sabah pada masa ini berada di tahap kritikal berbanding dengan jumlah penduduk di negeri ini yang semakin bertambah.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, jawatan doktor yang diisi di negeri ini kini hanya kira-kira 30 peratus daripada keperluan berbanding kadar pengisian nasional sebanyak 53 peratus.

"Sabah adalah antara negeri yang memang kekurangan doktor. Kita menerima hakikat itu dan dengan pengambilalihan Pusat Perubatan Sabah (SMC) dapat membantu memberi galakan kepada doktor untuk berkhidmat di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka beliau di Kampung Pengalat Kecil di sini semalam.

Menurut Rosnah, kerajaan sentiasa berusaha menambah bilangan doktor di negara ini selain menambah baik perkhidmatan dan infrastruktur perubatan.

Katanya, antara langkah yang sedang diambil bagi mengatasi kekurangan doktor adalah dengan mengambil doktor dari luar negara bagi menampung keperluan doktor di negara ini.

"Salah satu langkah lagi yang kita ambil adalah melatih lebih ramai doktor atau membuka lebih banyak ruang atau kuota kepada doktor tempatan untuk dilatih di universiti yang ada di Malaysia.

"Dalam masa yang sama juga kita telah memperkenalkan beberapa skim dalam kementerian bagi membantu doktor dan jururawat mendapat skim gaji yang lebih menarik," katanya.

Dalam pada itu Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, kerajaan juga giat menjalankan promosi bagi menarik lebih ramai doktor.

Katanya, promosi yang dijalankan bukan sahaja melalui laman web kementerian malah, kerajaan turut mendapatkan khidmat syarikat swasta untuk membantu usaha tersebut.

Jumaat, 25 September 2009

RASUAH DI MALAYSIA


Ketika Pulau Pinang diiktiraf kerana usahanya memerangi rasuah oleh Transparency International (TI), Malaysia terus merudum dalam Indeks Persepsi Rasuah apabila berada pada kedudukan ke-47 pada tahun 2008 berbanding tangga ke 43 pada tahun 2007.Malah, kedudukan Malaysia lebih buruk dari Israel yang dilabel sebagai entiti haram pengganas dan negara yang dianggap kurang membangun seperti Botswana dan Bhutan. Israel berada pada kedudukan ke-33, Botswana ke-36 manakala Bhutan berada pada kedudukan ke-45.

Paling mendukacitakan ialah apabila indeks yang dikelaurkan oleh TI itu menunjukkan negara-negara umat Islam tidak mengamalkan ajaran Islam yang memerangi rasuah.Negara-negara seperti Somalia, Iraq, Afghanistan dan Sudan berada di tangga paling bawah. Somalia berada di kedudukan tercorot iaitu ke-180, Iraq ke-178, Afghanistan ke-176 dan Sudan ke-173.

Negara yang berada di tempat teratas ialah Denmark diikuti oleh New Zealand, Sweden dan Singapura.

Di Malaysia, negara menanggung kerugian sebesar RM10 bilion setahun akibat rasuah - iaitu jumlah yang mencukupi untuk membina lebih dari 150,000 kos rendah jika diambilkira permohonan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) kepada kerajaan untuk menaikkan harga rumah kos rendah kepada RM60,000.

Dalam laporannya, TI membangkitkan amalan keluar masuk yang berterusan di antara bidang politik dan perniagaan di mana pihak tertentu bertukar-tukar tempat dari kedudukan sebagai ahli politik kepada ahli perniagaan atau dari ahli perniagaan kepada ahli politik dan terus keluar masuk di antara kedua-dua bidang itu.

Keadaan itu, menurut TI, mengakibatkan pengaruh yang negatif kepada konsep semak dan imbang.

Laporan tersebut juga menyatakan bahawa hubungan serba kompleks antara politik, sektor awam dan sektor swasta itu mungkin mengakibatkan rasuah berlaku dengan bebas tanpa sebarang hukuman.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low berkata, usaha mencegah rasuah di negara ini tidak ubah seperti melepas batuk di tangga sahaja jika tidak dilaksanakan tindakan drastik untuk memisahkan hubungan selesa antara kerajaan, perniagaan dan politik.

Low berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula tidak memperlihatkan hasil yang diinginkan dan orang ramai menganggap suruhanjaya itu mengamalkan penyiasatan dan pendakwaan secara berpilih-pilih.

Satu-satunya sisi yang positif dari laporan tersebut mengenai Malaysia ialah pengiktirafan yang diberikan kepada kerajaan Pulau Pinang dalam memerangi rasuah.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyatakan pihaknya menerima pujian itu dengan rendah hati.

Beliau juga mengumumkan bahawa Pulau Pinang berjaya mengurangkan RM36 juta atau 12 peratus perbelanjaan operasi hasil usaha memerangi rasuah itu. _


sumber harakahdaily.



Sabtu, 19 September 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI


SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN.

Ahad, 13 September 2009

INGATAN KEPADA PAKATAN RAKYAT

ImageNaib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mengucapkan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang mengingatkan Pakatan Rakyat bahawa kemenangan yang akan diperolehi tidak akan kekal jika prestasinya lemah.Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir yang memotivasikan lagi rakyat yang cintakan demokrasi dan kedaulatan undang-undang apabila bekas Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menyatakan Umno dan BN mungkin akan mengalami nasib yang sama seperti Parti Liberal Demokratik (LDP) Jepun yang ditolak rakyat negara itu.


Serentak dengan itu, beliau menggesa para pemimpin Pakatan mengingati kembali kenyataan Dr Mahathir November lalu di mana bekas Perdana Menteri menyatakan bahawa parti-parti lawan BN sedang memberikan 'preview' jenis pemerintahan yang akan didirikan.

"Kita bertanggungjawab memberikan 'preview' yang menyenangkan hati rakyat dan bukan 'preview' yang menyebabkan mereka meluat untuk melihatnya," Mahfuz mengingatkan.

Walaupun Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menunjukkan contoh yang baik dengan kehidupan sederhananya, kata beliau, ia tidak akan memberikan apa-apa makna jika tidak diikuti dengan bersungguh-sungguh oleh para pemimpin yang lain.

Mahfuz menyeru kerajaan-kerajaan negeri di bawah PR dan para pemimpin PR memastikan diri mereka bersih dari gejala-gejala yang melanda Umno yang dinyatakan oleh Dr Mahathir.

"Ketika (Presiden MIC, Datuk Seri S) Samy Vellu semalam menyatakan orang-orang India menyampah dengan BN, para pemimpin PR mestilah sedar bahawa bukan orang-orang India sahaja yang menyampah dengan BN malah sukar dinafikan bahawa majoriti rakyat negara ini menyampah dengan BN.

"Oleh itu, jika para pemimpin PR dilihat tidak berbeza dengan para pemimpin BN, rakyat akhirnya akan menyampah dengan PR," beliau mengingatkan.

Ketika mengulas penolakan rakyat Jepun terhadap LDP yang memerintah negara itu sejak Perang Dunia Kedua, Dr Mahathir berkata, fenomena tersebut tidak mustahil berlaku terhadap BN.

Jika prestasi kerajaan BN dan parti-parti di dalamnya gagal meyakinkan, beliau tidak menolak kemungkinan para pengundi yang kecewa akan melakukan apa yang telah dilakukan para pengundi Jepun - menyingkirkan parti yang mereka sokong sejak lebih dari separuh abad.

"Rasuah menjadi-jadi di dalam Umno dan parti-parti komponen (BN) yang lain. Perebutan kuasa telah melemahkan mereka. Para pemimpin begitu ghairah untuk terus berkuasa walaupun tidak lagi mampu berperanan.

"Dengan para pemimpin sedemikian, negara dan rakyat diabaikan. Pada dekad yang lepas, walaupun berdegar-degar dengan cakap-cakap bahawa berbilion ringgit diperuntukkan kepada koridor dan sebagainya, tidak ada bukti yang ketara dan boleh dilihat.

"Tidak ada apa-apa pun yang boleh ditunjukkan walaupun Petronas membayar RM250 bilion lebihan kepada kerajaan," katanya.

Adalah menghairankan, kata Dr Mahathir, apabila didapati Malaysia ketinggalan di belakang jiran-jirannya.

Negara ini, kata beliau, "bukan lagi negara yang terkehadapan di rantau ini. Tentunya tidak lagi boleh disifatkan sebagai negara contoh".

Dr Mahathir berpendapat, BN hanya boleh diselamatkan oleh prestasi lemah pembangkang.

Tsunami revolusi pilihan raya di Jepun 30 Ogos lalu menyaksikan Parti Demokratik Jepun (DPJ) menyingkirkan LDP apabila memenangi 308 dari 480 kerusi parlimen negara itu. _



Jumaat, 11 September 2009

JANGAN CETUS PROVOKASI

SERDANG: Penuntut Malaysia di Indonesia diingat agar berwaspada tentang keselamatan diri mereka dan tidak melakukan sesuatu yang boleh mencetuskan provokasi berikutan tindakan sekumpulan penunjuk perasaan yang melancarkan gerakan ‘Swepping Malaysia’ (Sapu Malaysia) bagi mengusir rakyat Malaysia di negara itu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penuntut Malaysia perlu menjauhi lokasi yang menjadi tumpuan kumpulan terbabit terutama di Jalan Diponegoro, Jakarta.

“Nasihat, pandangan dan panduan telah pun diberikan kepada penuntut kita di sana dan kita pada masa yang sama berharap penuntut-penuntut kita dapat menjaga keselamatan mereka.

“Mereka perlu sedar dan perlu elak untuk berada atau terlibat dalam sesuatu keadaan yang mereka boleh jangkakan boleh memberi masalah kepada mereka, mungkin seperti bergerak secara kumpulan yang boleh mencetuskan provokasi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Mesej Daripada Perdana Menteri Sempena Hari Raya di Universiti Putra Malaysia, di sini kelmarin.

Kumpulan penunjuk perasaan tersebut yang bersenjatakan buluh runcing dilaporkan turut menahan kenderaan yang melalui Jalan Diponegoro bagi mencari dan mengusir rakyat Malaysia.

Perkara itu timbul gara-gara Malaysia dituduh sengaja menggunakan tarian Pendet yang berasal dari Bali dalam promosi pelancongan walaupun dilaporkan perkara itu dilakukan oleh sebuah syarikat swasta yang berpangkalan di Singapura.

Mohamed Khaled turut mengulas langkah Universiti Sains Islam Malaysia yang didakwa memaksa seorang pensyarahnya meletakkan jawatan demi menjaga reputasi universiti tersebut, dengan berkata tindakan itu adalah hak autonomi universiti berkenaan.

“Keputusan yang diambil universiti itu adalah berdasarkan siasatan yang dijalankan pihak universiti dan pihaknya (kementerian) berpuas hati dengan proses pengadilan yang dijalankan.

“Kita telah meminta penyiasatan dibuat dan ia dibuat berasaskan kepada prinsip-prinsip keadilan. Saya berpuas hati sebab pihak universiti melaksanakan itu semua. Soal apa jua keputusannya, ia dibuat berasaskan siasatan,” katanya.

Pensyarah muda berkenaan mendakwa beliau dipaksa meletak jawatan selepas hanya meluluskan empat daripada 157 pelajar undang-undang universiti itu.